Shopee sebelum ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan MFL sebagai penaja utama dan menjadi platform dalam memasarkan serta menjual tiket menerusi dalam talian (e-tiket) bagi perlawanan bola sepak Liga Malaysia, Piala FA dan Piala Malaysia tahun ini.

Jualan e-tiket tersebut dilihat sebagai satu langkah terbaik dalam menyatakan sokongan mereka terhadap pembangunan masa depan bola sepak negara dengan menyediakan platform untuk rakyat Malaysia mendapatkan tiket dengan mudah, selain turut menyalurkan keseluruhan hasil jualan tiket tersebut kepada pasukan tempatan.

Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho, berkata, sehingga 5 Julai 2018, sebanyak 20,423 e-tiket telah berjaya dijual, sekali gus menyaksikan peningkatan sehingga 306.5 peratus daripada sasaran awal mereka iaitu 5,000 unit e-tiket.

"Jualan e-tiket yang melonjak lebih 5,000 unit dalam tempoh dua bulan sejak terjalinnya usahasama tersebut membuktikan bahawa platform kami berjaya mendekati pengguna dan semakin popular di Malaysia.

"Ia menunjukkan satu perkembangan yang kukuh dan seiring dengan perjanjian kami yang mahu jenama ini terus diperkasakan dalam bidang perniagaan serta komuniti tempatan.

"Selain daripada penajaan, Shopee juga menyokong pembangunan bola sepak tempatan dan dengan itu akan menyumbang pertambahan RM1.5 juta hasil jualan tiket serta aktiviti bersama MFL kepada pasukan-pasukan bola sepak di negara ini," jelas Ho dalam satu sidang akhbar hari ini sempena perlawanan akhir Piala FA 2018 antara Selangor dan Pahang di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.

Sebelum ini Shopee telah menawarkan diskaun 20 peratus untuk tiket perlawanan akhir Piala FA tersebut di mana harganya dijual pada harga RM42 berbanding harga biasa RM52.50 (RM50 harga tiket dan RM2.50 fi pemprosesan dalam talian). 

Tiket tersebut boleh dibeli dengan mudah menerusi pautan https://shopee.com.my/fmllp/1286504595.

Selain jualan tiket, Shopee turut melancarkan pelbagai inisiatif lain seperti Demam Bola, stadium mini, trivia dan pelbagai permainan dalam aplikasi dan laman Facebook mereka dengan hadiah berjumlah lebih RM500,000 ditawarkan.

"Seperti rakyat Malaysia yang lain, Shopee amat teruja menjadi sebahagian daripada kempen bola sepak negara.

"Selain daripada kemudahan dan penjenamaan sukan yang kukuh, kami yakin impak daripada aspek sosio-ekonomi hasil daripada usahasama ini akan terus berkembang dalam jangka masa panjang," tambahnya.

Ketua Pegawai eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata pertumbuhan pesat dalam penebusan penggunaan internet serta telefon pintar di Malaysia adalah bukti kukuh yang mendorong mereka menceburi bidang e-dagang.

"Bukan sekadar menjual tiket, kami juga mahu berkomunikasi dengan peminat dan menawarkan pengalaman membeli tiket secara mudah bagi membolehkan mereka menyokong pasukan masing-masing.

"Usahasama ini turut membolehkan kami fokus kepada pemulihan status bola sepak negara selain dapat menjalinkan lagi usahasama bersama Shopee dengan lebih erat," ujarnya.

Kepada anda yang ingin mendapatkan pelbagai lagi jenis produk berkaitan arena bola sepak tempatan. Shopee dan MFL juga telah melancarkan kedai rasmi dalam talian yang menjual cenderahati MFL yang menampilkan kit tulen pasukan bola sepak Malaysia, jersi dan pakaian, aksesori serta banyak lagi di pautan https://shopee.com.my/mflmerchant.

Anda juga boleh memuat turun aplikasi Shopee secara percuma di Apple App Store atau Google Play Store. - K! ONLINE