"Saya tidak tahu kerana sekarang berada di Mekah untuk menunaikan umrah.

"Saya menghadap Allah dan jika mereka nak buat apa-apa terpulanglah kerana mereka berkuasa," komen ringkas bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu ketika dihubungi sebentar tadi.

Kosmo! melaporkan, Mahkamah Sesyen Kangar hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim kerana gagal hadir untuk menghadapi pertuduhan dipercayai kes mencabul seorang gadis bawah umur, baru-baru ini.

Waran tangkap itu telah dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Johari Abu Hassan setelah Ketua Pendakwa Raya, Mohd. Nordin Ismail membuat permohonan tersebut.

Bagaimanapun peguam bela, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim yang mewakili Shahidan membantah pengeluaran waran itu kerana anak guamnya dan beliau sendiri tidak dimaklumkan mengenainya lebih awal.

"Saya mendapat tahu pengeluaran waran ini semasa berada di mahkamah pada pagi ini, sedangkan anak guam saya berada di luar kawasan," katanya.

Kejadian itu didakwa berlaku pada 20 Oktober lalu di Stadium Tuanku Syed Putra di sini kira-kira pukul 11.30 malam.

Namun, bapa mangsa telah menarik balik laporan keesokan harinya selain memaklumkan kejadian itu hanya merupakan salah faham. - K! ONLINE