Mohd. Shafie yang hadir bersama isteri, Datin Seri Shuryani Shuaib tiba di perkarangan Unit Forensik Patologi HQE 1 kira-kira pukul 1.55 petang sebelum beredar pada pukul 2.13 petang.

Beliau yang hadir berkemeja putih dan isteri yang mengenakan sepasang jubah hitam bagaimanapun enggan ditemuramah pengamal media.

Terdahulu pagi ini, Mahadzir ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di biliknya di Hotel Shangrila pada pukul 9.30 pagi oleh pekerja hotel.

Beliau yang berusia 61 tahun kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan HQE 1.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji mengesahkan tiada unsur jenayah berlaku di lokasi mangsa ditemui.

Difahamkan, Mahadzir berada di Sabah sejak Selasa lalu bersama kenalan atas urusan kerja di hotel berkenaan pada malam ini.

Keluarga Allahyarham dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu di sini untuk menuntut jenazah beliau. - K! ONLINE