Perintah reman bermula hari ini sehingga 19 Februari itu dikeluarkan oleh Majistret Ahmad Afiq Hasan selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memboleh siasatan lanjut dilakukan.

Menurut sumber,  wanita berusia 39 tahun itu dipercayai meminta suapan sebanyak RM1.5 juta daripada ejen hartanah sebagai ganjaran untuk tender penjualan hartanah milik kerajaan di Hong Kong.

Katanya, suspek telah menerima sebahagian wang terbabit daripada wakil syarikat untuk meminta persetujuan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan sebagai dorongan untuk meluluskan tender penjualan hartanah terbabit.

“Suspek ditahan pada pukul 6.55 petang semalam di pejabatnya di Kementerian Kewangan bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, wanita itu dipercayai melakukam kesalahan itu pada sekitar akhir tahun lalu dan pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat individu lain yang akan turut dipanggil memberi keterangan selepas ini.

“Kita akan melakukan soal siasat terhadap wanita itu dan sekiranya ada keperluan individu lain yang berkaitan akan dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kes ini,” katanya.

Terdahulu setiausaha pejabat itu dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pada pukul 9.05 pagi dengan memakai baju lokap SPRM dan tangan bergari. - K! ONLINE