Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, ia telah dibincang dengan panjang lebar dan Majlis Tertinggi telah bersetuju dengan pindaan perlembagaan itu.

“Pindaan dilakukan supaya ahli biasa dapat memainkan peranan dalam menentukan pemilihan jawatankuasa cawangan dan jawatankuasa bahagian parti.

“Daripada bahagian, perwakilan akan menentukan pemilihan kepimpinan tertinggi parti,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di Yayasan Kepimpinan Perdana  di sini hari ini.

Menurut Mahathir, menerusi pindaan itu, setiap ahli yang berdaftar juga mempunyai hak untuk bertanding setiap jawatan dalam Bersatu.

Jelasnya, ahli yang mahu berminat perlu secara sukarela untuk bertanding dalam pemilihan parti dan merupakan ahli yang berdaftar dalam Bersatu.

“Mereka perlu berdaftar sebagai ahli sebelum mendaftar bagi bertanding untuk jawatan Presiden, Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan sebagainya,” katanya. - K! ONLINE