Menterinya, Yeo Bee Yin berkata, Jabatan Kimia telah melakukan tiga ujian termasuk melalui sampel air kencing dan darah, bagaimanapun, tiada sebarang bahan kimia ditemui melalui sampel terbabit.

“Kita telah melakukan tiga ujian iaitu Urine Cyanide, Blood Cyanide dan Volatile Organic Compounds (VOC), bagaimanapun keputusan analisis daripada Jabatan Kimia mendapati ianya negatif.

“Keputusan itu menyebabkan kita gagal mencari sebarang punca dan kesan menerusi gangguan kesihatan yang dialami oleh mangsa,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang akhbar di Menara Aqabah di sini hari ini.

Bee Yin berkata, sehubungan itu, langkah terbaik yang boleh diambil adalah dengan mengarahkan semua kilang yang disyaki menjadi punca kepada pencemaran bau ini agar melupuskan semua sisa kimia serta merta.

“Kesemua bahan kimia di 30 buah kilang yang disyaki menjadi punca kepada pencemaran kimia ini telah diarahkan untuk melupuskan sisa kimia oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya. - K! ONLINE.