Menterinya, Yeo Bee Yin berkata, dua gas lain yang dikesan adalah acrylonitrile dan acrolein yang masing-masing turut dikesan ketika kes pencemaran Sungai Kim Kim pada bulan Mac lalu.

Menurutnya, akibat persekitaran udara yang tepu di Pasir Gudang, sebarang keganjilan sedemikian akan memberi kesan kepada kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak dan penghidap asma.

“Bagaimanapun, ketiga-tiga gas itu tidak dikesan dalam sampel darah dan air kencing.

"Oleh itu, kita tidak dapat 100 peratus kepastian bahawa terdapat kaitan antara punca dan kesan dengan kedua-dua insiden yang berlaku sebelum ini," katanya pada sidang akhbar di Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad. 

Bee Yin berkata, terdapat sebanyak 2,005 buah kilang berlesen di Pasir Gudang buat masa ini dan 250 daripadanya adalah kilang berasaskan bahan kimia.

Jelas, kepesatan pembangunan dan kepadatan industri kimia yang tinggi di Pasir Gudang, Johor menjadi penyumbang utama kepada impak ‘loading capacity’ persekitaran termasuk udara, tanah dan sungai di kawasan itu.

"Udara di Pasir Gudang tepu dengan pengeluaran gas selain pelepasan afluen tidak dikawal rapi di perparitan dan saliran sekali gus menyebabkan persekitarannya menjadi tidak stabil dan amat sensitif.

“Pembangunan di Pasir Gudang yang tidak lestari juga menyebabkan ketiadaan zon penampan antara industri berasaskan bahan kimia dengan kawasan sekolah, perumahan dan pusat aktiviti masyarakat, sekali gus mendedahkan penduduk Pasir Gudang kepada risiko bencana kimia," katanya. 

Kosmo! sebelum ini melaporkan hasil keputusan ujian makmal yang dijalankan ke atas lapan pesakit yang mengalami sesak nafas akibat pencemaran udara beracun di Pasir Gudang mendapati hasilnya negatif daripada sebarang kesan bahan kimia. - K! ONLINE