Bapa Irfan Wafiy, Idham Wazir A. Wahab, 49, turut mempersoalkan tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mendakwa mengambil perhatian serius terhadap masalah yang dihadapi murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Dahlia itu.

"Mana seriusnya perhatian mereka, katanya KKM sentiasa memantau keadaan anak saya, saya pun tidak faham.

"Dia (Irfan Wafiy) sepatutnya perlu mendapatkan rawatan fisioterapi tetapi temu janjinya bulan lapan (Ogos) nanti.

"Anak saya kena bulan tiga (Mac) tapi temu janjinya bulan lapan (Ogos), anak saya fobia malah mangsa-mangsa yang lain juga fobia," soalnya ketika ditemui di Taman Dahlia di sini hari ini.

Idham Wazir berkata, turut kecewa apabila temu janji untuk rawatan psikologi dengan Hospital Permai, Tampoi di sini sebanyak tiga kali namun tiada apa-apa tindakan.

Jelasnya, pihak hospital memaklumkan doktor pakar tiada pada hari berkenaan.

"Tiga kali saya bawa dia (Irfan Wafiy) jumpa doktor psikologi di Hospital Permai tetapi tiga kali dia (doktor) tidak ada," katanya.

Menurut Idham Wazir, anak keempat dari lima beradik itu perlu menjalani tiga rawatan susulan iaitu rawatan untuk saraf, fisioterapi dan psikologi.

Jelasnya, hanya satu rawatan sahaja diberi perhatian iaitu perlu berjumpa dengan doktor saraf dua minggu sekali.

"Mereka pandai cakap sahaja, tindakan tidak ada.

"Pihak hospital ada beri ubat tapi kesannya bila anak saya makan dia akan tidur jadi saya kasihan sebab dia hendak ke sekolah lebih-lebih lagi dia ada peperiksaan besar iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR)," katanya.

Dalam pada itu, Idham Wazir berkata, sehingga kini mereka tidak mendapatkan apa-apa bantuan seperti yang dijanjikan bulan dan bintang sebelum ini.- K! ONLINE