Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd. Khuzzan Abu Bakar berkata, sehingga kini, hanya sembilan pesakit terdiri daripada pelajar sekolah berusia 8 hingga 17 tahun ditahan di wad untuk menerima rawatan.

“Perkembangan positif ini hasil keputusan kerajaan negeri menutup semua 111 sekolah rendah dan menengah kerajaan, tiga institusi pendidikan, 14 buah sekolah swasta dan antarabangsa serta 347 buah tadika swasta bermula hari ini hingga Khamis depan.

“Tindakan ini (penutupan) adalah signifikan memandangkan dari hari pertama kejadian, mangsa yang terlibat adalah terdiri daripada pelajar sekolah dan kanak-kanak di sekitar Pasir Gudang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Menara Aqabah di sini, hari ini.

Mohd. Khuzzan menambah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melalui Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) masi memantau tahap kualiti udara dengan menggunakan alat analisis gas (GASMET) dari semasa ke semasa.

“Pemantauan berterusan dijalankan dalam radius pengesanan enam hingga 15 kilometer dalam kawasan yang terjejas,” katanya. - K! ONLINE