Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, pihaknya bagaimanapun mengambil langkah awal dengan menutup semua institusi pendidikannya di sekitar kawasan tersebut sejak dua hari lalu. 

"Sebanyak 13 kelas Taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) dan satu kelas Taman asuhan kanak-kanak (Taska) Kemas yang melibatkan 580 orang anak murid di Pasir Gudang telah diarahkan tutup. 

"Manakala di Tebrau, sebanyak 14 kelas Tabika dan sebuah Taska Kemas yang melibatkan 537 anak murid juga telah ditutup," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis sambutan Hari Pendidik Mara 2019 di sini hari ini. 

Mengulas lanjut Rina memberitahu, beberapa institusi pengajian tinggi di bawah Mara iaitu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Johor Bahru, dan Pusat Latihan Giat Mara di kawasan terjejas juga ditutup sejak dua hari lalu. 

"Manakala sebanyak 561 pelajar Universiti Kuala Lumpur-Malaysian Institute of Industrial Technology (UniKL MITEC), Masai yang sedang menduduki peperiksaan ditempatkan sementara di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi mengelak mereka terdedah kepada udara tercemar tersebut. 

Terdahulu, pada 20 Jun lalu, seramai 14 pelajar dan dua dewasa dari Sekolah Agama Taman Mawar (SATM), manakala 13 lagi murid Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang (4), mengalami sesak nafas, loya dan muntah, dipercayai akibat pencemaran udara.

Kejadian itu menyusul hanya kira-kira tiga bulan selepas kawasan sepanjang 1.5 kilometer di Sungai Kim Kim tercemar akibat pembuangan sisa toksik yang menjejaskan hampir 6,000 penduduk.

"Penutupan tersebut berkuat kuasa sehingga terdapat pengumuman rasmi daripada Kementerian Pendidikan Malaysia. 

"Murid dan pelajar yang direhatkan telah diarah untuk pulang ke rumah masing-masing dengan dibekalkan topeng muka," tambahnya. - K! ONLINE