Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dalam kenyataan hari ini berkata, ini berdasarkan sejarah pendedahan, gejala, taburan sekolah dan penilaian psikososial terhadap 470 pelajar yang terlibat.

"Mereka telah diberi intervensi psikososial dan daripada jumlah itu, seramai 231 dikesan mengalami gejala keresahan (anxiety) namun daripada jumlah itu pula, hanya 22 pelajar daripada 11 sekolah dirujuk kepada pakar (pakar perubatan keluarga / pakar psikiatri) bagi rawatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, secara kumulatif sehingga 5 petang semalam, seramai 723 orang awam, termasuk kanak-kanak menerima khidmat bantuan awal psikososial (PFA)) daripada Pasukan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial.

Secara keseluruhannya, pelajar-pelajar didapati menunjukkan gejala susah bernafas dan rasa loya serta mereka berasa takut dan risau akan mengalami perkara yang sama seperti yang pernah dialami dahulu, katanya.

"Gejala yang dialami oleh pelajar-pelajar ini dianggap reaksi normal oleh mereka yang telah melalui pengalaman trauma. Mereka dapat ditenangkan dengan baik oleh anggota kesihatan yang bertugas," katanya.

Jabatan Kesihatan Negeri Johor, kata beliau, masih melakukan pemantauan di kawasan itu dan orang ramai dinasihat agar mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya mengalami gejala sesak nafas, loya, muntah, pening, skit kepala, kekejangan otot dan lemah badan.

PFA yang dibentuk oleh kementerian itu juga masih meneruskan perkhidmatan sokongan psikologi di kawasan yang terjejas.

Sehingga semalam, kes kejadian sesak nafas di pasir Gudang sebanyak 1,138 orang iaitu 1,093 orang menerima rawatan sebagai pesakit luar dan 45 orang dimasukkan ke wad.

Tiada kes baharu dilaporkan setakat 5 petang semalam. - Bernama