Salah seorang penduduk di Taman Scientex, Md. Hairi Nick Syam, 40, berkata, ini merupakan insiden kedua yang dialami oleh keluarganya selepas kejadian pencemaran Sungai Kim Kim beberapa bulan lalu.

“Saya mengambil keputusan untuk membawa keluarga berpindah ke rumah saudara yang terletak di Pontian sekiranya situasi di sini makin teruk.

“Saya tidak sangka perkara ini terjadi sekali lagi, saya ingat semua sudah selesai selepas kerajaan mengesahkan tiada lagi pencemaran di kawasan ini,” katanya ketika ditemui di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini hari ini.

Terdahulu, anak kedua Md. Hairi yang berusia 13 tahun terpaksa dikejarkan oleh ambulans selepas didapati mengalami simptom pencemaran itu ketika sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nusa Damai di sini pagi tadi.

“Saya mengetahui kejadian ini selepas menerima panggilan daripada isteri kira-kira pukul 10 pagi yang meminta kami untuk mengambil anak kami yang mengalami simptom muntah-muntah dan loya.

“Setibanya tiba di sekolah, salah seorang rakan anak mendakwa anak saya telah dikejarkan ke Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang akibat daripada terhidu pencemaran toksik

“Sehingga kini, anak saya masih ditahan di pusat gerakan di stadium MPPG dan kini masih belum ada perkembangan,” katanya. - K! ONLINE.