Ibu mangsa, Norlela Abu Hashim, 45, berkata, saman tersebut bukan untuk dirinya tetapi untuk pembelaan masa depan anaknya.

Menurutnya, jumlah saman masih belum ditentukan kerana masih diperingkat perbincangan.

"Kami akan memfailkan saman kepada pihak yang terlibat terutamanya kilang yang melupuskan bahan kimia tersebut sehingga menyebabkan ramai mangsa terkesan serta kesihatan terjejas.

"Jumlah kalau ikutkan RM50 juta pun tidak cukup memandangkan ramai mangsa yang terlibat namun kami serahkan kepada pihak peguam kerana mereka tahu kerja mereka macam mana hendak buat," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.

Norlela berkata, tindakannya itu bukan seperti ibarat menangguk di air yang keruh tetapi demi hak serta pembelaan masa depan Irfan Wafiy yang kini bergelut dengan masalah kesihatan akibat kesan pencemaran bahan kimia.

Irfan Wafiy adalah murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Dahlia merupakan mangsa pencemaran Sungai Kim Kim yang paling lama dirawat di wad Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru iaitu kira-kira 10 hari dan insiden meragut kehidupan normalnya serta masa depannya.

Dalam pada itu, Norlela mendedahkan anak keempat daripada lima beradik itu sebelum ini dilahirkan tidak cukup bulan iaitu dua minggu lebih awal daripada tarikh yang dijangka.

Jelasnya, rekod kesihatan anaknya juga pernah diserang demam panas pada usia dua tahun namun kesihatannya kembali pulih dan sihat sepenuhnya seperti kanak-kanak seusianya sehingga dia sudah mencecah usia 12 tahun.

"Apabila dia rebah dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat terhidu gas beracun selama 10 hari, keadaan dia semakin terjejas, dia tidak normal seperti dulu dan pihak hospital sahkan dia hidap Myokimia," katanya.

Norlela berkata, hari ini dia serta beberapa lagi mangsa yang terjejas akan mengadakan pertemuan dengan badan bukan kerajaan (NGO) untuk membincangkan hak serta pembelaan kepada mangsa-mangsa yang terjejas. - K! ONLINE