Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPN) Johor, Azman Adnan berkata, hari pertama sesi persekolahan hari ini juga merekodkan jumlah kedatangan yang memberangsangkan.

“Sesi persekolahan dibuka selepas jawatankuasa bencana mengesahkan udara berada di tahap yang normal. Sehingga kini, jumlah kedatangan pada hari ini juga memberangsangkan.

“Biarpun, insiden ini tidak disifatkan sebagai teruk seperti kejadian pencemaran Sungai Kim Kim, kita juga mengambil langkah mengedarkan topeng muka sebagai langkah pencegahan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi lawatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang 4 di sini, hari ini.

Azman menambah, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) juga akan mengerakkan pasukan bagi memberi sesi taklimat keselamatan dan kesihatan di semua 18 buah sekolah yang terjejas.

Jelasnya, JPN Johor mengambil keputusan untuk tidak mengantikan cuti sekolah yang ditutup minggu lalu.

"Tidak perlu sekolah ganti kerana kita yakin tidak berlaku defisit pembelajaran. 

"Kita serahkan kepada sekolah untuk menyusun kaedah pembelajaran terbaik selama sekolah ditutup sementara minggu lalu dan jabatan yakin sukatan akan berjaya diselesaikan," katanya. - K! ONLINE