Pengarahnya, Azman Adnan berkata, bagi memastikan pembelajaran murid dapat dijalankan secara berterusan, guru-guru telah menyediakan pelbagai bahan pembelajaran alternatif melalui pelbagai media.

“Pembelajaran alternatif melibatkan pelbagai media termasuklah menerusi aplikasi Whatsapp, Telegram, Email, VLE dan Eduweb TV selain buku teks buku latihan aktiviti serta modul sedia ada yang dibina guru untuk rujukan pelajar.

“Ibu bapa serta penjaga boleh memantau dan membimbing murid sepanjang tempoh sekolah ditutup supaya mereka dapat meneruskan proses pembelajaran di rumah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Azman menambah, JPN Johor turut mengambil inisiatif dengan memastikan sekolah menyediakan  jadual ganti terancang selepas insiden bencana agar peruntukan masa instruksional (belajar) setahun dipenuhi seperti termaktub dalam ketetapan surat pekeliling ikhtisas.

“Selain itu, terdapat sekolah yang tidak terjejas khususnya di daerah Johor Bahru menerima murid kelas peperiksaan mengikuti sesi pembelajaran di sekolah tersebut sebagai langkah khidmat sokongan kepada murid yang terlibat dengan bencana tersebut,” katanya.

Terdahulu, kerajaan negeri mengambil keputusan menutup sebanyak 111 sekolah rendah dan sekolah menengah kerajaan, tiga institusi pendidikan tinggi dan 14 sekolah swasta serta antarabangsa, selain 347 tadika swasta yang berdaftar dengan JPN ditutup mulai Selasa hingga hari ini. - K! ONLINE.