Ini susulan JAS percaya tapak pelupusan itu turut berpotensi menyumbang kepada punca kejadian.

Pengarahnya, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, selain tapak pelupusan haram, pihaknya juga akan memeriksa semula kawasan Sungai Kim Kim yang terjejas akibat pembuangan sisa buangan kimia pada Mac lepas.

"Kita takut orang buang sesuatu di mana-mana, sebab itu kita akan buat rondaan (pemantauan) dengan menggunakan drone dan kaedah lain," katanya yang dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata, dijangkakan seramai 150 anggota penguat kuasa akan terbabit dalam operasi tersebut.

"Kita juga akan mendapatkan bantuan daripada syarikat konsesi JAS untuk menggunakan mobile unit mereka bagi memantau kualiti udara dengan parameter yang lebih menyeluruh," katanya.

Beliau berkata, buat masa ini, pemantauan pihaknya tertumpu di sekolah yang terjejas dan kilang berdekatan dengan kekerapan pemeriksaan adalah setiap empat jam menggunakan alat 'multi gas detector'. - Bernama