Pengarahnya, Wan Abdul Latif Wan Jaafar berkata, inisiatif ini diambil menerusi Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC) sebagai langkah pengenalan kepada pihak sekolah berhubung penggunaan alat tersebut.

Katanya, insiatif ini diambil bagi membolehkan pihak sekolah mengambil langkah awal dengan mendapatkan bacaan menerusi alat pengesan gas yang telah disediakan.

“Ia juga bagi memberi pendedahan dan pengalaman bacaan Volatile Organic Compounds (VOC) agar  pihak sekolah sekali gus bersedia menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.

Terdahulu, Wan Abdul Latif menyampaikan alat pengesan gas kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Nusa Damai di sini, hari ini.

Wan Abdul Latif menambah, inisiatif ini bagaimanapun sebagai langkah awal sebelum langkah seterusnya iaitu menjadikan semua sekolah di Pasir Gudang sebagai anak angkat kepada pemain industri di Pasir Gudang.

“Alat ini dipinjamkan sehingga Sabtu ini sebelum perbincangan secara langsung dengan pihak industri untuk mereka menjadikan kesemua 111 sekolah sebagai anak angkat.

“Insiatif ini adalah sebagai tanggungjawab sosial korporat syarikat terbabit yang tujuan sebenarnya adalah untuk perkongsian daripada segi khidmat penerangan dan menyediakan peralatan teknikal,” katanya. -K! ONLINE