Pelajar itu adalah dari Sekolah Kebangsaan Kota Masai 2, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Nusa Damai, SMK Tanjung Puteri Resort dan SMK Pasir Putih yang sebelum ini pernah dilanda simptom sama.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd. Khuzzan berkata, semua pelajar bagaimanapun direhatkan di bilik kecemasan sekolah dan tiada mangsa yang mendapatkan rawatan saringan di Klinik Kesihatan Pasir Gudang dan Klinik Kesihatan Masai setakat pukul 4 petang tadi.

“Selain itu, tiada pesakit baharu juga dimasukkan ke wad hospital dan setakat ini keadaan masih terkawal,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tambah beliau, Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada masa sama telah menjalankan pemeriksaan terhadap 212 premis industri di Pasir Gudang dan mengeluarkan 108 kompaun bagi kesalahan buangan terjadual, 10 kompaun kerana efluen perindustrian dan satu kompaun berkaitan kumbahan (tangki septik).

Sebanyak 51 notis arahan, 11 perintah tahan operasi dan tiga syor tindakan mahkamah turut dilakukan.

Beliau meminta orang ramai yang melihat atau mengesyaki sebarang aktiviti mencurigakan berkenaan pembuangan sisa toksik haram di kawasan mereka agar segera membuat aduan kepada JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau melalui eaduan.doe.gov.my. - Bernama