Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata, kedua-duanya merupakan pelajar lelaki dari Sekolah Agama Taman Mawar, Pasir Gudang, kini sedang dirawat di wad kanak-kanak dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Katanya, dua kes itu menjadikan jumlah mangsa dari sekolah tersebut seramai 18 orang.

“Dengan pertambahan dua kes baru ini, jumlah keseluruhan mangsa yang telah mendapat rawatan adalah sebanyak 31 orang iaitu 21 perempuan dan 10 lelaki.

“Sampel-sampel klinikal dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia di Petaling Jaya untuk ujian makmal toksikologi dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor pula akan terus melakukan pemantauan di lapangan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Penderma Darah Sedunia 2019 di Pusat Darah Negara, di sini hari ini.

Dzulkefly menyatakan bahawa enam mangsa bagi kes terdahulu yang turut menerima rawatan di wad yang sama sudah dibenarkan pulang kelmarin.

“Semua agensi berkaitan masih dalam usaha untuk mengenal pasti punca pencemaran tersebut.

“Orang ramai dinasihatkan agar mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya mengalami gejala sesak nafas, loya, muntah, pening, sakit kepala, kekejangan otot dan lemah badan,” tambahnya lagi.

Baru-baru ini, Pasir Gudang sekali lagi digemparkan dengan tragedi sesak nafas dalam kalangan pelajar sekolah, dikhuatiri bakal mengulangi semula tragedi Sungai Kim Kim yang menjejaskan lebih 4000 orang mangsa pada Mac lalu. - K! ONLINE