Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan, Mohd. Khuzzan Abu Bakar berkata, laporan diterima pihaknya kira-kira pukul 10 pagi tadi melibatkan beberapa buah sekolah sama yang terjejas ekoran pencemaran bau minggu lalu.

“Murid yang terjejas melibatkan mereka yang duduk di tingkat tiga dan empat bangunan sekolah. Kesemua mereka telah dirujuk ke klinik kesihatan Masai dan Pasir Gudang,” katanya ketika ditemui semasa melakukan tinjauan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kepok di sini, sebentar tadi.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr. Selahuddeen Abd. Aziz.

Mohd. Khuzzan menambah, bacaan udara yang dilakukan oleh Pasukan Bantuan Kecemasan Bersama Pasir Gudang (PAGEMA) menunjukkan paras bacaan normal dan selamat di SK Kepok.

“Bacaan udara masih berada dalam keadaan selamat. Justeru, sesi persekolahan akan berjalan seperti biasa. 

“Seperti sedia maklum, kebanyakan pelajar yang terkena serangan ini adalah pelajar yang duduk di tingkat atas bangunan sekolah. Bagi mengelakkan situasi sama berulang, kita akan memastikan sesi pembelajaran tidak dijalankan di tingkat tiga dan empat bangunan,” katanya. - K! ONLINE.