Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri Johor, Mohd. Khuzzan Abu Bakar berkata, lima buah sekolah teribat ialah SRA Taman Mawar, Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang 4, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang 2, Tadika PASTI dan Tadika Pintar Bistari membabitkan lebih 3,000 pelajar.

Menurutnya, arahan penutupan ini adalah sebagai langkah berjaga-jaga agar insiden 13 murid dan kakitangan Sekolah Rendah Agama (SRA) Taman Mawar, Pasir Gudang dekat sini Khamis lalu tidak berulang.

"Pemantauan kualiti udara dibuat secara berkala iaitu setiap enam jam dan mendapati tahap bacaan kualiti udara adalah normal namun pemantauan akan diteruskan sehingga hari Isnin (24 Jun) dan akan diteruskan mengikut keperluan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd. Khuzzan berkata, sehingga pukul 12 tengah hari tadi, dua pesakit baharu dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) manakala enam murid yang menerima rawatan sebelum ini dibenarkan pulang.

Katanya, dua mangsa baharu itu terdiri daripada masing-masing murid lelaki dan perempuan berusia 11 tahun SRA Taman Mawar. - K! ONLINE