Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri Johor, Mohd. Khuzzan Abu Bakar berkata, insiden gangguan kesihatan itu melibatkan pelajar dan guru di 27 buah sekolah sekitar daerah ini dengan 16 buah Sekolah Rendah (SK) dan 11 buah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK).

Menurutnya, selepas sesi persekolahan ditangguhkan hanya seramai 101 mangsa dihantar ke Klinik Kesihatan Pasir Gudang dan Masai untuk rawatan saringan.

"Daripada jumlah itu hanya 10 murid sekolah rendah berusia 10 hingga 12 tahun dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk pemeriksaan lanjut," katanya pada sidang akhbar di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini.

Hadir sama ialah Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin.

Mohd. Khuzzan berkata, pasukan pemantauan terdiri daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kimia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta lain-lain agensi membuat pemantauan kualiti udara secara serentak di 85 buah sekolah membabitkan radius 13 kilometer (km).

Jelasnya, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membentuk 18 pasukan Bantuan Awal yang akan memberikan pendidikan awal menjaga kebersihan diri.

"Kita juga turut mengarahkan pihak sekolah memindahkan aktiviti pembelajaran di tingkat atas tiga dan empat bangunan sekolah ke bahagian bawah sekolah tersebut," katanya. - K! ONLINE