Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dalam satu kenyataan berkata, Kedutaan Malaysia di Hague berhubung dengan rakyat Malaysia di Utrecht serta pihak berkuasa tempatan yang berkaitan dan akan terus memantau keadaan.

Menurutnya, Malaysia juga mengutuk sekeras-kerasnya dan menolak perbuatan kejam itu yang berlaku hanya beberapa hari selepas serangan berdarah pengganas di Christchurch, New Zealand, Jumaat lepas.

"Saya terkejut dan sangat sedih dengan kejadian tembakan itu. Pada masa kesedihan ini, Malaysia bersatu bersama-sama keluarga mangsa, kerajaan dan rakyat Belanda meratapi kehilangan nyawa dan kesengsaraan yang dialami akibat perbuatan itu," katanya di sini hari ini.

Media antarabangsa semalam melaporkan, serangan bersenjata dalam sebuah trem di bandar Utrecht pada 10.45 pagi waktu tempatan mengorbankan tiga orang dan mencederakan lima yang lain. 

Pihak berkuasa Belanda kemudian mengesahkan suspek lelaki yang melepaskan tembakan itu ditahan malam semalam. - K! ONLINE