Wisma Putra dalam satu kenyataan turut menzahirkan ucapan takziah kerajaan Malaysia kepada keluarga Allahyarham Muhammad Haziq.

"Kerajaan Malaysia mengucapkan takziah kepada keluarga Muhammad Haziq.

"Suruhanjaya Tinggi Malaysia akan menghulurkan bantuan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian," katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Wisma Putra berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa akan berlepas ke Christchurch untuk mewakili kerajaan Malaysia bagi memberi sokongan kepada rakyat Malaysia yang terlibat dalam tragedi berkenaan.

"Kementerian berharap orang ramai dan pihak media menghormati perasaan ahli keluarga mangsa pada waktu-waktu yang sukar ini," katanya.

Terdahulu, Exco Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh mengesahkan kematian Muhammad Haziq malam tadi berdasarkan maklumat yang diterima daripada sumber.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan nasib Muhammad Haziq menjadi tanda tanya selepas remaja itu dilaporkan hilang semasa insiden tembakan rambang tersebut.

Muhammad Haziq merupakan anak kepada Mohd. Tarmizi Shuib, 42, yang kini menerima rawatan di Hospital Christchurch selepas cedera ditembak dalam kejadian di Masjid Al Noor.

Seorang lagi anak Mohd. Tarmizi, Mohd. Haris, 12, masih menerima rawatan di hospital kanak-kanak di Christchurch akibat trauma susulan insiden tersebut.

Selain Mohd. Tarmizi, dua lagi rakyat Malaysia yang tercedera akibat serangan itu ialah Rahimi Ahmad dan Muhammad Nazril Hisham Omar. - K! ONLINE