Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, dua pegawai daripada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington kini berada di Christchurch.

"Setakat pukul 3 petang ini tiga rakyat Malaysia cedera dalam kejadian tembak yang menyasarkan dua masjid di Christchurch semalam dan kesemua mereka sedang dirawat di hospital.  Seorang lagi warga Malaysia masih hilang dan usaha untuk mencarinya sedang berjalan," kata Saifuddin lagi. 

Saifuddin berkata, beliau juga telah berhubung dengan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar New Zealand, Winston Peters untuk menyampaikan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat New Zealand termasuk keluarga dan rakan mangsa.  

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan New Zealand kerana bertindak pantas untuk mengembalikan keamanan di kawasan terjejas dan memudah cara rawatan perubatan kepada mangsa," kata beliau. - Bernama