Kakaknya, Zarina Shuib, 53, berkata, dia sempat berbual dengan adik bongsunya itu yang masih dirawat di Hospital Christchurch menerusi panggilan video selama kira-kira 10 minit pada pagi tadi.

"Saya bertanyakan khabarnya dan adik beritahu dia sihat serta sudah boleh makan sebelum dia bertukar sebak ketika saya tanya tentang Haziq," katanya ketika ditemui di rumahnya di Hutan Kampung di sini hari ini.

Katanya, Mohd. Tarmizi memaklumkan anak keduanya itu masih belum ditemui dan tiada sebarang maklumat baharu yang diterima setakat ini.

"Saya tidak bertanya lanjut kerana tidak mahu dia berasa sedih dan susah hati lagi memandangkan keadaannya belum pulih sepenuhnya selepas menjalani pembedahan kedua bagi mengeluarkan peluru di belakang badan semalam," ujarnya.

Menurut Zarina, dia berasa lega kerana abang, Zakaria, 55, dan adiknya, Mariani, 49, serta sepupu, Nordina Ahmad Fauzi, 30, telah tiba di Christchurch untuk menemani Mohd. Tarmizi.

"Mereka akan berada di sana sehingga 25 Mac ini untuk memberikan sokongan kepada adik dan keluarganya," katanya.

Tambahnya, dia dan ahli keluarga lain bercadang untuk melakukan solat hajat di surau atau masjid bagi mendoakan agar anak saudaranya itu ditemui dengan selamat serta Mohd. Tarmizi cepat pulih. - K! ONLINE