Pegawai Perubatan di Hospital Christchurch yang juga merupakan rakyat Malaysia, Mohamad Firdaus berkata, keadaan Rahimi  stabil namun masih perlu menjalani beberapa pembedahan susulan.

“Pembedahan itu bagi membuang serpihan namun tidak dapat dipastikan sama ada ia merupakan serpihan peluru, tulang atau benda lain yang terdapat dalam ruang dural mangsa.

“Abang Tarmizi (Mohd. Tarmizi Shuib) juga masih hidup dan tolong jangan sebarkan berita palsu kematiannya. Buat masa ini, saya tidak dapat berjumpa dia berikutan masih dalam bilik pembedahan,” katanya kepada Kosmo! Online sebentar tadi.

Mohamad Firdaus menambah, seorang lagi mangsa rakyat Malaysia, Nazril Hisham Omar turut dilaporkan stabil dan sedang dirawat di wad biasa.

“Anaknya, Daniel menemani dia tidur di wad selepas selesai pemeriksaan MRI. Bagaimanapun, gambar dan butir kecederaan dia tidak dapat didedahkan kerana belum mendapat kebenaran pesakit,” jelasnya.

Menurutnya, dia mengesahkan ketiga-tiga rakyat Malaysia yang menjadi mangsa tembakan di Christchurch masih hidup selain mencela individu yang menyebarkan berita palsu berhubung kematian mereka. - K! ONLINE