Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dalam satu kenyataan berkata, solat sunat tersebut akan diadakan di semua 84 masjid dan 110 surau Jumaat di seluruh Wilayah Persekutuan.

“Inisiatif ini diambil selaras dengan tuntutan agama bagi mendoakan mangsa dalam insiden berkenaan, termasuk untuk rakyat Malaysia yang terkorban serta tercedera.

“Mudah-mudahan mereka yang terkorban ditempatkan bersama-sama para syuhada di sisi Allah dan ahli keluarga yang terlibat diberikan kesabaran berdepan ujian ini,” katanya di sini hari ini. 

Seramai 50 mangsa terbunuh dalam tragedi berdarah yang berlaku di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand sebelum solat Jumaat pada 15 Mac lalu.  

Seorang rakyat Malaysia, Mohd. Haziq Mohd. Tarmizi, 17, terkorban manakala tiga lagi iaitu Mohd. Tarmizi Shuib, 42, Rahimi Ahmad, 39, dan Nazril Hisham Omar, 49, cedera. - K! ONLINE