Dalam insiden itu, seorang rakyat Malaysia Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17, antara 50 yang terkorban, manakala tiga lagi rakyat negara ini antara 42 yang cedera dalam kejadian tembakan itu yang berlaku ketika umat Islam sedang bersedia untuk menunaikan solat Jumaat.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat dan solat jenazah ghaib di Masjid Abdullah Az-Zubair Pangkalan Udara Kuala Lumpur di sini.

Keberangkatan tiba baginda pada jam 1.15 petang diiringi Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Turut hadir Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohd. Ajib Ismail dan anggota-anggota TUDM.

Khutbah Jumaat bertajuk 'Islam Agama Kedamaian' disampaikan Imam masjid berkenaan Mej Mohamad Muntaha Saleh yang turut mengimamkan solat.

Dalam khutbah itu, Mohamad Muntaha menasihati para jemaah agar mengambil iktibar dengan peristiwa hitam yang berlaku di Masjid Al-Noor dan Masjid Linwood, Christchurch itu, yang berpunca daripada salah faham terhadap Islam.

Selesai solat Jumaat yang disusuli solat Jenazah Ghaib, Sultan Abdullah turut berkenan menunaikan solat hajat bersama-sama jemaah untuk memohon keamanan dan kedamaian tanah air.

Di Masjid Jamek Kampung Bharu pula kira-kira 500 jemaah menyertai solat jenazah ghaib untuk Allahyarham Muhammad Haziq, yang diimamkan oleh Iman Dua masjid berkenaan, Azizi Ab Hamid.

Solat jenazah ghaib turut diadakan di surau utama Institut Jantung Negara, di sini.

Muhammad Haziq adalah anak kedua Mohd. Tarmizi Shuib, 42, rakyat Malaysia yang parah ditembak dalam serangan di Masjid Al Noor. Jenazah Muhammad Haziq selamat dikebumikan di Memorial Park Cemetery Bromley di Linwood, Christchurh selepas waktu Zohor (waktu tempatan) pada semalam.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa menyarankan semua masjid di seluruh negara mengadakan solat jenazah ghaib selepas solat Jumaat susulan berita kematian remaja itu. - Bernama