Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kerajaan amat mengambil berat kebajikan mangsa dan akan memastikan kesemua mereka mendapat rawatan terbaik selain bersedia membantu menanggung kos perubatan.

"Wisma Putra sedang berurusan dengan keluarga mereka kerana ada di antara mangsa yang cedera, anggota keluarga mereka seperti anak atau ibu bapa berada di Malaysia.

"Kita akan cuba bantu uruskan perjalanan mereka ke sana dan mendoakan ketiga-tiga rakyat Malaysia yang cedera sembuh serta tiada perkara lebih mudarat berlaku," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Sekolah Kebangsaan Indera Mahkota Utama di sini hari ini.

Saifuddin turut mengesahkan setakat ini tiga rakyat Malaysia dilaporkan cedera dalam kejadian itu, manakala seorang lagi masih dilaporkan hilang dan belum dapat dikesan.

Mereka yang cedera ialah Mohd. Tarmizi Shuib, 46, dari Kedah; Rahimi Ahmad, 39, dari Pulau Pinang dan Mohd. Nazril Hisham Omar, 46 dari Kelantan, manakala seorang lagi yang masih hilang ialah Mohd. Haziq Mohd Tarmizi, 17, iaitu anak kepada mangsa tembakan, Mohd. Tarmizi.

"Saya difahamkan ketiga-tiga mereka berada dalam keadaan stabil dan akan menjalani pembedahan untuk mengeluarkan peluru berkenaan serta luka yang dialami.

"Seorang lagi anak Mohd. Tarmizi iaitu Mohd. Haris kini sedang dirawat di sebuah hospital kanak-kanak di sana kerana mengalami trauma ekoran kejadian itu.

"Sementara Mohd. Haziq masih lagi tidak dapat dikesan. Saya difahamkan ketika kejadian ada saksi nampak dia lari bersama ayahnya, namun ayahnya cedera terkena tembakan... kita tidak tahu dia ada mana, harap dia selamat dan mungkin dia sedang berlindung di mana-mana," katanya.

Berikutan kejadian itu, katanya kerajaan telah menghantar dua orang petugas dari pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Wellington iaitu seorang pegawai diplomatik dan seorang atase tentera ke Christchurch selain seorang pegawai kanan dari Wisma Putra bagi membantu. - Bernama