Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, sejurus berita mengenai tragedi itu disiarkan, Kementerian Luar menerusi Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah telah mengeluarkan kenyataan untuk membantu keluarga mangsa.

"Timbalan Ketua Setiausaha Jabatan Hal Ehwal Pelbagai Hala Kementerian Luar (Datuk Nadzirah Osman) juga telah pergi ke New Zealand untuk memberikan bantuan kepada keluarga mangsa di sana.

"Jadi janganlah menyatakan seperti kerajaan tidak melakukan sepatutnya kerana kerajaan dan Kementerian Luar Negeri telah membuat apa yang perlu untuk membantu rakyat kita di sana," katanya kepada pemberita di sini, pada Isnin.

Beliau diminta mengulas mengenai laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris di Malaysia semalam yang melaporkan mengenai kekecewaan anggota keluarga mangsa tragedi itu terhadap kekurangan bantuan daripada pihak berkuasa Malaysia di negara itu.

Sementara itu, Wan Azizah berkata, beliau berkesempatan berhubung dengan anggota keluarga kepada dua mangsa tembakan itu iaitu Prof. Dr. Zurinawati Mohyi dan Noor Azila Abd. Wahid.

Wan Azizah berkata, Zurinawati yang merupakan isteri kepada mangsa Mohd. Nazril Hisham Omar dan Noor Azila isteri kepada Rahimi Ahmad menyatakan bahawa suami mereka berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan.

"Saya difahamkan seorang lagi mangsa yang cedera, Mohd. Tarmizi Shuib juga berada dalam keadaan stabil, namun kita masih lagi tidak mendengar khabar mengenai anaknya berusia 17 tahun yang masih hilang, kita harapkan dia akan ditemui dalam keadaan selamat," katanya. - Bernama