Dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 pagi itu, kedua-dua mangsa berusia lingkungan 30-an hanya mengalami kecederaan ringan sahaja. 

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan, Pegawai Bomba Kanan II, Omar Ali Saiffuddin berkata, berdasarkan maklumat awal pasangan suami isteri dalam perjalanan ke Pekan Sekinchan dari kampung Site C di sini. 

Katanya, sebaik melalui kawasan tersebut kenderaan tersebut hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan dan melanggar tiang elektrik sebelum terbakar. 

"Kedua-dua mangsa terselamat selepas berjaya keluar secara sendiri ketika api masih kecil. 

"Seramai 11 anggota dan pegawai dengan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 8.18 pagi bagi memadamkan kebakaran tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Jelas beliau, pihaknya mengambil masa 20 minit bagi memadamkan kebakaran yang memusnahkan 90 peratus bahagian kereta itu. - K! ONLINE