Kejadian pada pukul 8.30 malam itu mengorbankan isteri kepada pemilik kedai motosikal tersebut.

Menurut seorang pekerja kedai motosikal itu yang dikenali sebagai Iskandar, sebelum kejadian, majikannya yang merupakan sepasang suami isteri bertengkar dengan seorang pembekal barangan alat ganti motosikal.

“Susulan pertengkaran itu, lelaki terbabit keluar dari kedai sebelum muncul beberapa minit kemudian.

“Sebaik dia memasuki semula kedai, saya terdengar bunyi letupan sebelum berlaku kebakaran beberapa minit selepas itu,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Iskandar yang merupakan orang kelainan upaya kerana kaki kanannya kudung berjaya menyelamatkan diri dalam kebakaran itu.

Tiga lelaki yang melecur terdiri daripada seorang pekerja kedai motosikal itu dan dua lagi penyewa rumah kedai. Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, jurucakap Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, seramai 34 anggota bersama enam jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentul, Titiwangsa serta Hang Tuah dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan mengenai kejadian pada pukul 8.42 malam.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian didapati berlaku kebakaran melibatkan sebuah bangunan rumah kedai tiga tingkat termasuk kedai motosikal,” katanya. - K! ONLINE