Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Penolong Kanan Penguasa Bomba Sallehuddin Darawi berkata, mayat mangsa berjaya dikeluarkan dari kereta jenis Proton Wira itu pada pukul 2.46 pagi tadi.

"Kereta mangsa yang ditemui dalam keadaan terbalik pada kedalaman sungai kira-kira empat  meter berjaya ditarik keluar menggunakan dua kereta penunda.

"Mayat mangsa ditemui masih berada di tempat duduk pemandu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian awal pagi ini.

Kata beliau, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk dibedah siasat 

Tambahnya, seramai 19 anggota termasuk lima Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Kosmo! Online semalam melaporkan sebuah kereta dipercayai terbabas lalu terjunam ke dalam Sungai Santap, Pokok Sena kira-kira pukul 11 malam semalam. - K! ONLINE