Dalam kejadian pada pukul 7.15 pagi itu, mangsa, Nik Soh Raja Bedullah, 68, yang berada di kerusi penumpang hadapan kereta jenis Perodua Myvi maut serta-merta akibat kecederaan parah.

Manakala mangsa yang cedera ialah pemandu kereta, Nik Muhammad Khairil Azmi Mohd. Ashari, 26, penumpang belakang, Ramlah Ab. Razak, 56, Nik Mohamad Eppi Nik Soh, 24, Nik Nur Shahira Mohd. Sapiri, 13, Nik Atikah Nik Aziz, 21, dan Muhammad Irfan Rayyan Nik Mohamad Eppi, 2 bulan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang,Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, kemalangan berlaku ketika semua mangsa dalam perjalanan dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati setibanya di lokasi kejadian, kenderaan yang dipandu oleh seorang lelaki dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke dalam cerun di sebelah kiri jalan.

“Akibat kejadian itu, kenderaan dinaiki mangsa remuk dan seorang telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan, tetapi berdasarkan siasatan awal mendapati kenderaan itu terbabas sendiri ke dalam cerun,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Taufik berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat dan mangsa yang cedera menerima rawatan di Klinik Kesihatan Chiku 3.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Arifuddin Akif Mohd. Noor berkata, 11 anggota bersama dua jentera bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.37 pagi.

Katanya, pihaknya berjaya mengeluarkan seorang lelaki dewasa di bahagian tempat duduk hadapan sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. - K! ONLINE