Tertuduh, Abu Shahriman Othman, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki selaras senjata api jenis M-16-A1 di Kampung Padang Jeri, Gerik pada 11 Mac lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan sebat tidak kurang enam kali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa memiliki selaras senapang patah buatan sendiri dan 209 peluru hidup pelbagai jenis di tempat dan tarikh sama.

Bagi kesalahan ini, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. - K! ONLINE