Majistret Stephanie Sherron Abbie menetapkan keputusan itu selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap suspek yang berusia 44 tahun.

Terdahulu, suspek telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud lebih kurang pukul 7 malam tadi.

Suspek yang bertugas di bahagian stor ditahan kerana dipercayai menerima suapan berjumlah puluhan ribu ringgit secara tunai dan dalam talian antara tahun 2014 hingga Jun lalu.

Difahamkan, perlakuan tersebut dilakukan ketika suspek dipinjamkan ke Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.

Tindakan berkenaan dikatakan bertujuan melindungi pesalah bagi kes dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pada prosiding tersebut kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Faliq Basirudin manakala suspek tidak diwakili peguam.

Sehubungan itu, penahanan terbaharu tersebut menjadikan 13 anggota polis termasuk seorang di Sibu, Sarawak ditangkap pihak SPRM.

Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 kerana memberi sogokan kepada penjawat awam yang boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan jika disabitkan.

Terdahulu, pada Selasa lalu seramai 12 anggota polis berpangkat konstabel hingga inspektor direman selama tujuh hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan kes rasuah. - K! ONLINE