Sejumlah 38 anggota kru yang lain telah selamat tiba di Miri dengan dua orang mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Besar Miri untuk menerima rawatan.

"Petronas dukacita menyatakan bahawa seorang kru kapal  MV Geo Technical yang terbakar pada 3.15 pagi, masih belum ditemui," kata syarikat minyak dan gas multinasional itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.  

Menurut kenyataan tersebut, kebakaran itu telah dapat dipadamkan dan operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan.

Kapal tersebut yang dimiliki oleh Asian Geos Sdn. Bhd. ketika itu sedang menjalankan kajian geo-teknikal untuk Petronas pada lokasi kira-kira 27 kilometer di perairan luar pantai Baram.

Anggota kru yang masih hilang itu merupakan staf Asian Geos.

Petronas sedang bekerjasama rapat dengan Maritim Malaysia dan beberapa pihak lain dalam operasi mencari dan menyelamat selain turut memberikan bantuan sepenuhnya kepada mereka yang terjejas akibat insiden itu. - Bernama