Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, senarai pembahagian portfolio tersebut perlu dipersembahkan kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin untuk mendapat perkenan baginda.

"Saya akan mengumumkan senarai (pembahagian portfolio) Exco (Terengganu) selepas Mesyuarat Exco yang akan bersidang buat kali pertama pada Rabu ini (esok)," katanya pada sidang akhbar selepas memasuki pejabat buat kali pertama di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Sebelum ini, seramai 10 ADUN Pas Terengganu yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) turut mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di hadapan Sultan Mizan pada satu majlis di Istana Syarqiyyah, Chendering di sini pada Jumaat lalu.

Mereka adalah Satiful Bahri Mamat (Paka), Dr. Alias Razak (Bukit Tunggal), Mohd. Nor Hamzah (Bukit Payung), Dr. Azman Ibrahim (Jabi) dan Datuk Tengku Hassan Tengku Omar (Ladang).

Ariffin Deraman (Alor Limbat), Hanafiah Mat (Cukai), Wan Sukairi Wan Abdullah (Wakaf Mempelam), Dr. Mamad Puteh (Kuala Berang) dan Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman (Kota Putera) turut dilantik sebagai Exco kerajaan negeri Terengganu. - K! ONLINE