Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, senarai cadangan berkenaan adalah terbuka kepada maklum balas orang awam sama ada perlu atau tidak untuk memasukkan atau menggugurkan mana-mana item daripada senarai barangan dikecualikan daripada SST.

"Walaupun senarai yang dikeluarkan oleh JKDM hanya cadangan, namun Kementerian Kewangan berpandangan adalah perlu bahawa barangan mahal yang juga mewah iaitu 'big-ticket items' haruslah dimasukkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Guan Eng berkata, antara barangan mahal dan mewah yang tersenarai untuk pengecualian ialah seperti kapal terbang, kapal mewah, feri penumpang, helikopter, kapal angkasa dan peralatan luncur salji.

Semalam, semasa sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, Guan Eng berkata, SST hanya akan merangkumi 38 peratus daripada kumpulan barangan Indeks Harga Pengguna (IHP) berbanding 60 peratus mengikut Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Beliau juga berkata SST akan "mengembalikan" RM23 bilion jumlah kutipan cukai kepada rakyat sekali gus mengurangkan beban kewangan khususnya mereka yang terkesan ekoran kos sara hidup tinggi. - Bernama