Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pihaknya akan mendapatkan maklum balas dan pandangan daripada rakyat berhubung senarai barangan itu dan kajian akan dibuat sama ada barangan itu perlu dikenakan cukai SST atau tidak.

"Senarai penuh sudah dimuat naik tapi kita perlu buat pindaan. Seperti yang saya sebut tadi bahawa kita kena laksanakan (SST) pada 1 September. Saya tidak ada pilihan, kalau ada masa kita nak bagi sikit masa kerana kalau kita tak laksanakan pada 1 September kita dalam keadaan defisit.

"Selepas kita dapat pandangan daripada orang ramai dan mereka buat permintaan, sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dan dengar pandangan rakyat kita mesti ambil tindakan sewajarnya. Jadi, kita akan buat lagi pindaan (senarai barangan) saya harap semua boleh bersabar," katanya kepada pemberita selepas taklimat pelaksanaan SST bersama Menteri Kewangan di sini hari ini.

Beliau berkata terdapat beberapa barangan atau makanan yang sepatutnya tidak dikenakan SST disenaraikan sebagai barangan dikenakan cukai berikutan barangan itu diletakkan dalam satu kelompok yang sama. - Bernama