Izreen atau nama sebenarnya, Izreen Azminda Aznam menerusi Instagram berang dan menegaskan anaknya, Muhammad Adrian Umar, 4, adalah zuriat hasil perkahwinan dengan lelaki bernama Muhammad Riza yang dikahwini pada 2012 dan tiada kena mengena dengan Amar. 

“Jangan biadab. Sampai anak saya awak nak babitkan! Nak mengata saya pun mengata dan tabur dosa dekat saya sahaja Yang nak babitkan anak Amar dan anak saya yang tak berdosa ni dah kenapa.

“Kalau anak orang lain apa jadahnya bertahun dalam perut. Orang kalau ada kehidupan dan bahagia memang takkan sibuk pasal kehidupan orang lain. Nampak sangat awak tidak bahagia sampai sibuk dengan kehidupan orang lain,” tulis pelakon filem Nana Tanjung 2 itu selain turut menjelaskan bahawa dia berkahwin dengan bekas suami pada 30 Ogos 2012 dan anaknya dilahirkan pada 13 Julai 2013. 

Dalam satu perkongsian berasingan, Izreen, 33, mendoakan individu yang memfitnahkan diberikan petunjuk dan hidayah atas dosa yang dilakukan. 

“Allah lebih mengetahui. Semoga sempat terampun dosa mereka-mereka yangg menabur fitnah terutamanya menabur fitnah pada insan yangg masih kecil dan tidak mengetahui apa-apa.

“Semoga Allah memberi petunjuk dan hidayah pada hati mereka-mereka yangg hitam dan penuh kebencian itu,” tulis Izreen lagi.

Izreen mengulas berkaitan sebuah akaun Instagram yang mencantumkan foto anaknya bersama wajah anak pelakon Amar Baharin dan Amyra Rosli dengan mendakwa kanak-kanak itu berwajah seiras yang berkemungkinan daripada darah yang sama.

Dalam erti kata lain tuduhan itu bermaksud Izreen mempunyai hubungan dengan Amar sehingga melahirkan Muhammad Adrian Umar.

Izreen mendirikan rumah tangga Muhammad Riza pada 2012 dan berpisah pada 2014.

Dia kemudian berkahwin dengan pemuzik bebas Muhammad Radzi Wahid atau Ude, 29, pada Ogos lalu.

Sebelum Amar berkahwin dengan Amyra Rosli November tahun lalu, Izreen pernah digosipkan bercinta dengan Amar namun hubungan mereka tidak bertahan lama. - K! ONLINE