Pemangku Pengarah LMNS, Aziz Mohd Gorip berkata, seminar ini diadakan bersempena Sambutan Hari Keputeraan ke-70 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

"Seminar ini merupakan antara pengisian utama sambutan hari keputeraan bagi peringkat daerah Tampin, di samping untuk memperkasa dan memartabatkan lagi pengamalan Adat Perpatih serta memberi kefahaman jelas kepada masyarakat khususnya generasi muda tentang apa yang dikatakan sebagai Adat Perpatih itu.

"Ia juga bertujuan untuk mengetengahkan nilai murni dan falsafah kehidupan dalam Adat Perpatih serta memastikan ia terus hidup subur dan segar, walaupun mengalami arus perubahan yang pesat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Anggota panel yang bakal terlibat ialah mantan pensyarah Institut Perguruan Raja Melewar (IPRM) yang juga penceramah bebas berkaitan Adat Perpatih, Datuk Muhammad Yassin dan penyelidik bebas sejarah serta budaya Negeri Sembilan, Mohd. Khairil Hisham Mohd. Ashaari.

Aziz berkata, seminar yang dijangka dirasmikan Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al Qadri akan membicarakan topik bertajuk 'Adat Bersendikan Hukum, Hukum Bersendikan Kitabullah' serta 'Sejarah dan Peranan Penyandang Pesaka Wilayah Adat Tampin'.

"Orang ramai dijemput menghadiri seminar ini," katanya. - Bernama