Timbalan Pengarah JPV Bahagian Kesihatan Sabah, Dr Peter Lee Ah Kong berkata kerja-kerja penakaian serta pelupusan telah dimulakan semalam iaitu sebanyak 1,000 ayam telah dimusnahkan.

"JPV memerlukan tempoh kira-kira seminggu untuk menghapuskan kira-kira 28,000 ekor ayam yang telah didapati dijangkiti virus di ladang berkenaan.

Anggota JPV yang terlibat dalam proses penghapusan dan pelupusan juga telah ditambah bagi menampung jumlah yang sedia ada," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Lee berkata aktiviti penakaian berjalan lancar dan taklimat berkenaan virus itu juga akan diberikan kepada ketua kampung serta anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) agar maklumat dapat disampaikan kepada penduduk yang terlibat dengan betul.

Selain itu, ia juga bagi mengelak salah faham dalam kalangan orang ramai yang beranggapan Tuaran tidak selamat untuk dikunjungi.

Jumaat lepas, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Junz Wong mengisytiharkan Tuaran sebagai kawasan wabak penyakit selesema burung.

Wong berkata hasil ujian yang dijalankan mendapati sebuah ladang di daerah itu merekodkan keputusan positif bagi selesema burung. - Bernama