Menurut sumber SPRM, sehingga kini jumlah aset yang disita SPRM adalah wang tunai berjumlah RM978,800, lima kereta, 11 motosikal, lima bentuk cincin, seutas gelang, empat utas rantai, 11 telefon bimbit serta perkakas elektrik. 

“Lima buah kenderaan berkenaan ialah sebuah Volkswagen Golf GTI, tiga buah Honda dan sebuah Perodua Alza manakala 11 motosikal terdiri daripada lima buah berjenama Yamaha dan selebihnya berjenama Honda.

Kesemua kenderaan dan barangan yang disita tersebut kini masih dalam proses penilaian harga,” kata sumber itu kepada Bernama. 

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan kesemua penyitaan itu.

Beliau berkata, pasukan penyiasat SPRM masih dalam proses mengumpul bukti bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Semalam, kesemua suspek ditahan semasa hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya antara 2.45 hingga 3.15 petang serta disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Mereka direman selama lima hari bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana PRU-14 berjumlah RM3.5 juta. - Bernama