Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, buat masa ini, pihaknya sedang berbincang mengenai perkara itu dan menunggu pertimbangan sewajarnya daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

"Saya kena tengok dulu (kesesuaian tarif air semasa) dan Kerajaan Negeri kena kenal pasti formula terbaik (jika perlu menaikkan tarif air). Kalau ada kenaikan, kita akan pastikan ia jauh lebih rendah daripada kenaikan tarif elektrik sebelum ini.

"Sebab ada negeri seperti Pahang dan Perlis, tarif air mereka sudah 30 tahun tidak dinaikkan, malah Selangor pun sudah 12 tahun tak naik tarif air. Kalau naik (tarif air di Selangor), kita akan pertahankan satu kadar yang munasabah dan tak membebankan rakyat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Pagi bersama Penjawat Awam Daerah Petaling di sini hari ini.

Ditanya mengenai tempoh pelaksanaannya jika Kerajaan Negeri perlu menaikkan tarif air, Amirudin menyatakan pihaknya masih menunggu perincian daripada SPAN yang akan mengadakan pertemuan dengannya dalam masa terdekat.

Pada Selasa lepas, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, A Xavier Jayakumar menyatakan kadar tarif air mungkin akan dinaikkan secara berperingkat tahun ini selaras dengan usaha kerajaan untuk menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air di negara ini.

Susulan itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengumumkan tarif air di negeri itu naik kira-kira 20 peratus mulai tahun ini manakala Sabah dan Johor memutuskan untuk tidak menaikkan tarif bekalan air. - Bernama