Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon berkata, daripada jumlah itu, 75.68 peratus murid mengambil dadah jenis methamphetamine, kanabis (16.73 peratus), opiat (5.17 peratus), amphetamine (2.23 peratus) dan ketamin (0.19 peratus).

"Kementerian Pendidikan ingin menegaskan bahawa jumlah yang dinyatakan merupakan bilangan murid yang mencuba dadah dan tidak dikategorikan sebagai penagih. Mereka masih mengikuti pembelajaran serta aktiviti sekolah seperti biasa tetapi perlu mengikuti pemantauan dan bimbingan terancang oleh kaunselor sekolah.

"Mengapa kita tidak kata mereka ini penagih sebab seorang penagih, penjual atau yang menyimpan dadah sememangnya sudah dirujuk dengan kes polis di bawah kes jenayah atau dadah, tidak lagi di bawah seliaan Kementerian Pendidikan," katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr. Siti Mariah Mahmud (Amanah-Kota Raja) mengenai bilangan terkini penagih dadah dalam kalangan pelajar sekolah serta jenis dadah yang diambil, selain langkah yang diambil bagi membendung gejala itu. - Bernama