Pesta Orkid, Flora dan Herba 2018 menyasarkan kira-kira 250,000 pengunjung dengan RM2.5 juta jualan, sepanjang 10 hari berlangsung bermula 22 hingga 31 Mac.

Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak berkata, segmen baharu itu bagi memberi pendedahan kepada orang ramai khususnya kepada pengusaha tanaman bunga untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.

"Tahun ini, kita bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli untuk membawa tanaman herba diperoleh daripada hutan yang dikutip masyarakat Orang Asli.

"Selain memberi manfaat kepada pengusaha, ia juga memberi peluang kepada pelajar daripada politeknik dan universiti untuk menjalankan penyelidikan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pesta Orkid, Flora dan Herba 2018 yang dirasmikan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Yahaya Mamat di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, selain memberi peluang kepada pengusaha tanaman bunga terutama orkid untuk mengetengahkan produk mereka, beliau juga yakin pesta itu mampu menjadi platform bagi padanan perniagaan antara usahawan terlibat. - Bernama