Hakim Rozina Ayob menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Allan Suman Pillai memberitahu mahkamah terdapat beberapa dokumen masih belum lengkap.

“Hari ini pihak pendakwaan menyerahkan satu dokumen mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah kepada pasukan pembelaan.

“Namun, pihak pendakwaan memerlukan tarikh lain bagi penyerahan dokumen selanjutnya dalam kes ini,” katanya pada sebutan kes itu, hari ini.

Peguam, Datuk K. Kumaraendran yang mewakili Bung Moktar, 60, atau nama sebenarnya Moktar Radin mengesahkan pihaknya sudah menerima dokumen berkenaan.

Pihak pendakwaan turut memaklumkan pihaknya akan membuat permohonan supaya kes Bung Moktar dan Zizie Izette dibicarakan bersama serta dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Allan berkata, pihak pendakwaan menyerahkan satu dokumen mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah kepada pasukan pembelaan hari ini dan pihaknya juga akan membuat permohonan supaya kes ini dibicarakan bersama (kes Bung Moktar) pada sebutan akan datang.

Kumaraendran yang turut mewakili Zizie Izette, 41, berkata, pihaknya memerlukan masa untuk meneliti dokumen itu.

Pada 3 Mei lalu, Bung Moktar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk FELCRA Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Mengikut pertuduhan pertama, Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, 38, melalui isterinya, Zizie Izette.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu sebagai upah mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk FELCRA membuat pelaburan RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, No. 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini, antara jam 12.30 tengah hari hingga jam 5 petang, pada 12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama, Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) bernombor 044797816 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan sama.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) bernombor 044797824 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada jam 12.16 tengah hari dan jam 12.28 tengah hari, 19 Jun 2015.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Zizie Izette yang juga seorang pelakon mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi. - Bernama