Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr. Alias Razak berkata, bilangan kes yang direkodkan itu menunjukkan peningkatan sehingga 210 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dengan 195 kes.

Menurut beliau, daerah Kuala Terengganu mencatatkan kes HFMD tertinggi sebanyak 151 diikuti 102 kes di Marang, Dungun (92 kes), Setiu (83 kes), Kuala Nerus (64 kes), Besut (45 kes), Hulu Terengganu (43 kes) dan Kemaman (25 kes).

"Kanak-kanak berusia di antara satu hingga enam tahun paling ramai dijangkiti HFMD di negeri ini dengan jumlah 543 kes sementara 47 kes membabitkan bayi berusia kurang daripada 12 bulan.

"Sebanyak 13 kes lagi dikesan pada kanak-kanak berusia lingkungan tujuh hingga 12 tahun serta satu kes melibatkan remaja berusia antara 13 hingga 18 tahun," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas Alias, berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) itu, sebanyak 353 kes HFMD direkodkan menjangkiti kanak-kanak lelaki manakala 252 lagi membabitkan kanak-kanak perempuan.

Tambah beliau, pelbagai langkah pencegahan diambil oleh JKNT antaranya menjalankan aktiviti disinfeksi di 483 kediaman, 43 Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska), 15 Taman Bimbingan Kanak-kanak, sembilan buah sekolah rendah dan 17 lagi melibatkan lain-lain premis. - K! ONLINE